Thursday, August 20, 2009

Mencari Lailatul Qadr

:Tuan Hamba! Tuan Hamba!
Tuan Hamba di mana!
:Ya Tuan Hamba, gerangan apakah Tuan hamba mencari hamba!
:Tuan hamba di mana tu!
:Hamba di sini, marilah ke sini!
:Hamba kurang pasti, tuan hamba di mana, hanya suara tuan hamba yang dapat hamba dengar!
:Hamba di sini, di mihrab masjid ini...
:Oh tuan hamba, gerangan apa tuan hamba berada dimihrab masjid ini?
:Hamba menghidupkan malam.
:Menghidupkan malam?
:Ya, hamba menghidupkan malam, mencari lailatul Qadr!
: Mencari Lailatul Qadr? Apakah lailatul Qadr itu tuan hamba?
:Lailatul Qadr itu malam kemuliaan, malam penentuan. Malam kemuliaan itu lebih utama daripada 1000 bulan!
:Benarkah tuan hamba?
:Ya benar, Turun malaikat dan Ruhul Amin pada malam itu, dengan izin tuhan mereka,membawa pokok-pokok dari tiap-tiap perintah!
:Istimewakah malam itu tuan hamba?
:Ya istimewa, Sejahteralah ia hingga terbit fajar.
:Malam inikah malam lailatul qadr itu tuan hamba?
:Mungkin!
:Tuan hamba tidak pasti?
:Ya, hamba tidak pasti!
:Kalau tidak pasti kenapa tuan hamba mencarinya?
:Mungkin hamba akan menemuinya tuan hamba! Petunjuknya banyak sekali.
:Bilakah agaknya malam kemuliaan itu tuan hamba, adakah sebarang petunjuk untuk mencarinya? Adakah hamba juga berpeluang menemuinya?
:Tuan hamba, setiap insan yang beriman berpeluang untuk menemuinya! Cuma petunjuknya banyak sekali!
:Apakah petunjuknya tuan hamba, tidak sabar hamba hendak mendengarnya!
:Tuan hamba, menjadi perbincangan yg panjang lebar dikalangan ahli hadis dan riwayat, bilakah, malam apakah yang tepat Lailatul Qadr itu. Ibnu Hajar al-Usqalany menyalinkan tidak kurang 45 qaul tentang malam itu, masing-masing menurut pengalaman dgn catatan ulama-ulama yang merawikannya, sejak dari malam 1 ramadhan sampai 29 atau 30 ramadhan, ada saja tersebut ulama yang merawikannya. Demikian juga As-Syaukaniy juga menuqilkan demikian tuan hamba.
:Kalau begitu bagaimana tuan hamba? Nampak begitu sukar..
:Tuan hamba, ada satu riwayat dalam hadith Bukhari dirawikan dari Abu Sa’id Al-Khudry bahawa tentang malam berapa yang tepat telah lupa oleh Rasulullah s.a.w. Justeru dianjurkan setiap malam bulan ramadhan itu diramaikan dan diisi penuh dengan ibadat. Tetapi ada juga riwayat yang kuat bahawa Lailatul qadr itu ialah pada malam sepuluh terakhir dari Ramadhan, ertinya sejak malam 21. Sejak malam 21 itu juga Nabi s.a.w lebih memperkuat ibadatnya daripada malam-malam yang sebelumnya, sampai beliau bangunkan kaum keluarganya yang tertidur.
:Tuan hamba, tidak ada malam yang lebih hampirkah?
:Tuan hamba, Abdullah bin Mas’ud dan Asy-Sya’biy dan al-Hasan dan Qatadah berpendapat bahwa malam itu ialah malam 24 Ramadhan. Alasan mereka ialah kerana ada hadith dari Wastilah bahwa Al-Quran diturunkan pada 24 Ramadhan.
:Ada pendapat lain lagikah tuan hamba?
:Suatu riwayat lagi daripada As-Suyuthiy, yang kemudian sekali dikuatkan oleh Syaikh Khudhariy bahawa Lailatul qadr jatuh pada 17 Ramadhan. Mereka mengambil istimbat daripada ayat 41 surah al-anfal, “Hari pemisahan, hari bertemu dua golongan” iaitu dalam Peperangan Badr pada 17 Ramadhan.
:Adakah ini muktamad tuan hamba?
:Tuan hamba, kita pun dapat faham bahawa ini adalah hasil ijtihad, bukan suatu nash Qath’iy yang pasti dipegang teguh, sebab Nabi S.a.w menyuruh memperhebat ibadat setelah 10 yang akhir, bukan pada malam 17 Ramadhan.
:Itu sajakah pandangan yang tuan hamba ada?
:Ada sedikit lagi tuan hamba, menurut Al-Hafiz Ibnu Hajar, sesetengah ulama berpendapat bahawa malam Lailatul Qadr yang sebenarnya hanyalah sekali sahaja, iaitu ketika Al-Quran mulai pertama turun itu. Adapun Lailatul Qadr yang kita peringati dan memperbanyak ibadat pada tiap malam hari bulan Ramadhan itu ialah untuk memperteguh ingatan kita kepada turunnya al-quran itu. Sudah jelas lagi terang malam itu pasti terjadi dalam bulan Ramadhan. Kita hidupkan malam itu, ambil berkat dan sempena, dan memperbanyakkan syukur pada Allah kerana bertepatan malam itulah Al-Quran mula diturunkan Allah. Berdiri mengerjakan sembahyang yang disebut qiamullail atau tarawikh, diseluruh malam Ramadhan atau menambah ramainya di malam 10 yang akhir, pastilah salah satu bertepatan dengan malam turunnya Al-Quran itu.
:Ada kejadian ganjil-ganjilkah malam itu tuan hamba?
:Tuan hamba, ada juga yang mengatakan bahawa malam Lailatul Qadr itu dapat disaksikan dengan kejadian yang ganjil-ganjil. Misalnya air berhenti mengalir, pohon kayu tunduk ke bumi dan sebagainya. Semuanya itu adalah hal-hal yang tidak dapat dipertanggungjawabk an menurut ilmu agama yang sebenarnya!
:Kalau begitu malam ini kita ke mana tuan hamba?
:Tidak kemana-mana, hamba akan terus di sini menghidupkan malam. Bukankah malam ini 10 akhir ramadhan, Nabi menyuruh kita memperhebat ibadat!
:Ya! Ya! Betul Tuan hamba. Sudah pukul 2 pagi rupanya!
:Oh! Pukul 2 pagi. Kalau begitu ayuh kita qiyamullail, tahajjud, tadarus, zikir dan lain-lain sampailah terbit fajar pagi esok Tuan hamba.
: Oh! Baik tuan hamba, baik!


Ref: Tafsir Al-Azhar, surah al-Qadr

No comments:

Post a Comment